Khamis, 21 April 2011

PENGHAKISAN KEMURNIAN ADAT & BUDAYA

ALHAMDULILLAH, dengan rahmat dan izin dari Ilahi, Persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu kali ke-175 dapat dilangsungkan pagi ini.
Agama menentukan kompas moral kehidupan insan; menggariskan perkara-perkara utama untuk dijadikan panduan demi menjamin hubungan harmoni terjalin di antara manusia dengan Tuhan, di antara manusia sesama manusia dan di antara manusia dengan alam semesta yang luas. Kerana itu terdapat rukun-rukun perhubungan yang digariskan oleh agama merangkumi tingkah laku, adab berpakaian dan adat pertuturan dalam memenuhi rukun-rukun agama.
Pepatah Melayu pula ada menyebut, “Hidup dikandung adat – Mati dikandung tanah”, “Bahasa Jiwa Bangsa”. Demikian pentingnya adat yang didukung oleh pekerti yang mulia, perilaku yang sopan dan pertuturan yang tertib dalam membina budi pekerti masyarakat dan dalam membangunkan tamadun yang dihormati. Pekerti yang mulia, perilaku yang sopan dan pertuturan yang tertib diperlihatkan melalui tingkah laku, keterampilan diri dan pemilihan kata-kata yang diungkapkan serta nada suara ketika bertutur. Insan yang memahami tertib – insan yang memahami adab akan memperlihatkan sifat-sifat murni, memahami dan senantiasa menghormati keperluan adat.
Dalam memenuhi rukun-rukun agama, Islam telah menggariskan pelbagai perkara termasuk cara berpakaian yang sesuai untuk sesuatu ibadah atau upacara. Ketika menyempurnakan ibadah haji dan umrah, umat Islam diperlukan berihram, bagi lelaki diwajibkan hanya memakai dua helai kain yang tidak berjahit, tanpa mengira sama ada dia seorang Raja atau Presiden, sama ada dia seorang hartawan atau fakir miskin; kesemua mereka perlu seragam menghormati bentuk pakaian yang telah ditetapkan.
Begitu pula ketika menunaikan solat, ketika masuk ke masjid, ketika menziarahi makam, corak pakaian hendaklah bertepatan. Panduan berpakaian menghormati sesuatu peristiwa dan sesuatu tempat tidak hanya terdapat di dalam Islam. Umpamanya, lelaki yang memasuki gereja dikehendaki tidak memakai topi, sementara lelaki Sikh dikehendaki memakai serban ketika masuk ke Gurdwara, dan penganut agama Buddha begitu juga penganut agama Hindu mempunyai etika pakaian tertentu yang wajib dihormati baik di kalangan lelaki mahupun wanita, bersesuaian dengan sesuatu upacara ataupun tempat.
Selanjutnya, manusia menggunakan kebijaksanaan akal bicara berpakaian untuk disesuaikan dengan acara, sebagai tanda hormat kepada sesuatu situasi; umpamanya warna-warna terang dielakkan dari dipakai ketika menziarahi orang yang meninggal dunia, berbanding dengan pemilihan warna-warna ceria ketika menghadiri majlis perkahwinan. Begitulah bestarinya manusia yang bijak dan matang menggunakan akal bicara yang mencerminkan tahap ketamadunan menjadikan mereka manusia beradab.
Tamadun manusia juga selanjutnya mereka cipta rukun-rukun berpakaian yang memberikan identiti profesion, identiti aktiviti dan identiti upacara. Badan-badan beruniform dikenali dengan pakaian seragam yang melambangkan identiti profesion, para olahragawan dan ahli sukan memiliki identiti pakaian berdasarkan jenis sukan sementara pakaian-pakaian khusus direka cipta sesuai dengan sesuatu upacara.
Adalah janggal bagi seorang polis trafik yang bertugas menjaga lalu lintas di jalan raya untuk memakai pakaian tidur, adalah janggal untuk seorang pemain bola sepak memakai pakaian renang di padang bola, adalah janggal untuk doktor yang bertugas di bilik bedah untuk memakai ihram, dan adalah janggal untuk seorang Raja ketika bersemayam di atas takhta di Balai Rong Seri hanya bersinglet dan bercelana pendek.
Cara berpakaian yang sejajar dengan sesuatu acara adalah sebahagian daripada disiplin yang memperlihatkan ketinggian akal budi seseorang insan. Malah seseorang yang bertaraf Raja sendiri wajib memperlihatkan disiplin berpakaian sejajar dengan sesuatu acara yang dihadiri. Raja, meski berada di puncak takhta kerajaan, tidak dikecualikan untuk berpakaian selaras dengan darjat sesuatu acara sebagai menghormati acara dan menghormati para tetamu yang hadir.
Ketika bertitah di Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar anjuran Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia pada 30 Ogos tahun lalu, Beta pernah menzahirkan bahawa “Pencerobohan besar bermula dari pencerobohan kecil. Ia mungkin bermula dari sebuah surau, atau sebuah madrasah, atau sebuah masjid, atau sebuah mimbar. Ia bermula dari satu ungkapan, satu ucapan, satu khutbah, satu tazkirah atau satu doa”.
Sewajarnya Beta mengulangi ingatan tersebut, malah menegaskan bahawa penghakisan kemurnian adat dan penghakisan ketinggian budaya bangsa, boleh bermula dengan sifat memandang ringan dan sifat tidak menghormati adat berpakaian dalam sesuatu majlis. Sebagai bangsa yang bertamadun dalam negara bangsa yang berusaha membina tamadun yang tinggi, amatlah penting untuk dipastikan pencerobohan-pencerobohan secara halus ini sama sekali tidak dibenarkan berlaku. Adab dan budaya bangsa perlu dihormati, disanjung, dipertahankan dalam semangat di mana bumi di pijak, di situ langit dijunjung.
Semoga Allah Subhanahu Wata'ala memelihara bangsa dan negara kita dari perbuatan-perbuatan yang boleh menghancur dan memusnahkan kemurnian budaya bangsa. Semoga setiap warga yang memiliki ketulenan kesetiaan kepada negara bangsanya akan bersama membina perisai yang kukuh mempertahankan maruah dan kemuliaan budaya bangsanya. Semoga Persidangan kali ini akan dilimpahkan taufik dan hidayah dari Allah Subhanahu Wata’ala.

Isnin, 12 Julai 2010

RM 200 JUTA BANTU PENGGIAT SENI

Penggiat filem, dokumentari dan seni tanah air diminta memanfaatkan Dana Industri Kreatif bagi menghasilkan karya seni yang berkualiti sehingga mampu mengeksport produk tersebut ke peringkat antarabangsa.
Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, dana RM200 juta itu dapat membantu para penggiat seni menghasilkan produk yang boleh memartabatkan nama negara. Katanya, dana itu adalah suntikan pinjaman modal kerajaan untuk membantu mereka menghasilkan produk filem atau dokumentari bertaraf dunia.
"Setakat ini RM20 juta telah disalurkan kepada beberapa penerbit dan mereka yang terbabit dalam industri seni bukannya terhad dalam bidang perfileman sahaja tetapi merangkumi pelbagai seni lain. ''Sehingga kini 15 pihak telah memohon dana berkenaan," kata Rais.
Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa meninjau lokasi pengambaran filem Hanyut arahan U-Wei Shaari di Padang Tengku, dekat sini hari ini. Menurut beliau, galakan yang diberikan oleh kerajaan melalui dana itu diharap dapat memberi suntikan kepada penggiat filem dan seni tempatan menerbitkan produk yang boleh mengharumkan nama Malaysia di luar negara.
Mengulas pengambaran filem Hanyut, Rais berkata, penerbit filem tersebut setakat ini telah diberikan pinjaman modal RM5 juta bagi memastikan penggambaran filem itu berjalan lancar. Rais berharap filem itu dapat diketengahkan ke festival filem Cannes atau festival antarabangsa yang lain.

Rabu, 5 Mei 2010

SULTAN TEGUR GOLONGAN TIDAK BERADAB

pengarang@utusan.com.my


SHAH ALAM 5 Mei - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah kesal dengan golongan yang mendakwa mereka profesional dan berjawatan besar tetapi tidak mempunyai adab yang sepatutnya.
Malah titah baginda, golongan yang tidak beradab itu juga mendakwa penampilan itu sesuai dengan imej masyarakat moden.
''Perbuatan itu bukan sahaja dilakukan di tepi-tepi jalan tetapi juga di tempat mulia dan tinggi," titah baginda ketika melancarkan Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (Padat) di sini malam ini.
Hadir sama pada majlis itu ialah Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali.
Sultan Selangor bertitah, adab bermakna menghormati ibu bapa, orang tua, jiran tetangga, ketua dan pemimpin selain menghormati budi bahasa dan pertuturan dengan tidak melakukan sesuatu yang boleh menyinggung perasaan dan maruah seseorang.
Baginda percaya amalan itu nenek moyang sejak dahulu itu perlu diterapkan dalam sistem pelajaran dan dipraktikkan oleh semua kaum supaya Selangor menjadi negeri yang mempunyai masyarakat bersopan santun dan budi bahasa yang tinggi.
Baginda juga mahu adat-adat Melayu diberi penerangan kepada kaum-kaum lain agar perpaduan antara masyarakat pelbagai kaum di negara ini dapat diperkukuhkan. ''Begitu juga orang-orang Melayu harus memahami dan menghormati adat resam kaum lain. Mereka juga hendaklah memahami dan menghormati adat resam Melayu.
''Dengan cara ini tidak timbul salah faham atau kekeliruan mengenai adat resam masing-masing," titah baginda. Sultan Selangor juga berharap Padat dapat menumpukan perhatian kepada penerokaan, pengkajian dan persembahan dan penonjolan adat Melayu dan warisan Selangor yang keasliannya dapat dipertahankan melalui penyelidikan.

Isnin, 13 Julai 2009

KEBUDAYAAN - ANJAKAN PARADIGMA

GERAKAN BUDAYA;
SATU PENGUKUHAN ILTIZAM,
STRATEGI & IMPLIMENTASI

Oleh : Zainal Mohd Jais
Naib YDP, Majlis Kebudayaan Selangor


Pertemuan Budayawan Selangor, 5 julai 2009
Auditorium Perpustakaan Awam Selangor, Shah Alam

APA ITU BUDAYA

Kebudayaan ialah keseluruhan cara hidup, merangkumi cara bertindak, yang merangkumi cara bertindak, berkelakuan dan berfikir, serta segala hasil kegiatan dan penciptaan yang berupa kebendaan atau kerohanian sesuatu masyarakat, tamadun, peradaban, kemajuan (akal budi).

APA PERANAN DAN KEMAMPUAN BUDAYA
(Rujuk Kertas Kerja saya 2007/08 - Kebudayaan Teras Membina Bangsa I & II)

KEBUDAYAAN DALAM PROSES KETAMADUNAN
Apa ciri-ciri bangsa agung : –
(China, Rom, Great Britain, Jepun, Yahudi)
. Ego (keyakinan tinggi)
. jiwa penakluk/menguasai (pelindung)
. daya kepimpinan tinggi
. konsep perantauan (diasfora)
. komited kepada anutan
. kuat jatidiri + adaptabiliti
. naluri motivasi tinggi – bukan dibina
. kreativiti tahap perintis
. keupayaan berinteraksi dengan alam
. wibawa, daya saing tinggi

*Kesemua ciri tersebut adalah berteraskan kebudayaan - faktor yang bersifat non-fizikal.

FENOMENA/PERSEKITARAN SEMASA
Kesan Daripada Globalisasi

. Politik
Protes, ketidakpastian, kekeliruan
. jatidiri
antara jumud, dinamik/adaptable
. pendidikan
polemik dasar, konflik realiti semasa
. perpaduan
konflik jatidiri dan persepsi
. anjakan paradigma
krisis - satu proses kebangkitan tamadun
. 1 Malaysia
Satu usaha penyelesaian yang menyeluruh
(rujuk blog saya : diam-diamubi.blogspot.com)

*Kesemua isu tersebut berkait terus dengan budaya dan jatidiri

GERAKAN BUDAYA DI ARUS PERDANA
Melihat diri – MKN dan 20 Badan Gabungan

Di mana tahap kita
. Apresiasi, Dokumentasi, Promosi, Aplikasi teknologi
. Penerimaan dan penghayatan masyarakat kepada kebudayaan
. Keterlibatan, sama ada aspek budaya atau tokoh/pemikir budaya di arus perdana

Bagaimana kita boleh meletakkan diri di tempat sepatutnya
. Penguasaan bidang pengkhususan – ilmu dan networking
. Iltizam, komitmen dan konsistensi
. Aplikasi teknologi semasa dalam semua aspek – kepimpinan, pentadbiran, pelaksanaan
. Menampilkan diri secara dominan dalam kancah/arus perdana negara

PENUTUP

SARANAN KEPADA KERAJAAN

Memandangkan kebudayaan merupakan teras kepada pembinaan negara bangsa dan tunjang kepada pembinaan tamadun, pihak kementerian perlu mengambil langkah pro-aktif agar kebudayaan, selain dari dikendalikan oleh kementerian yang ada sekarang, ia juga perlu dijadikan teras atau dukungan utama kementerian pendidikan. Ini kerana kita sedar bahawa proses membina bangsa, yang teras dan induknya ialah kebudayaan.
Sudah sampai masanya aspek fikiran dan idea dan nilai dan norma yang tercatat dan didefinisikan dalam dasar kebudayaan kebangsaan itu dijadikan kurikulum, dipulihara, dan disebarluaskan semula, ke arah melahirkan satu generasi pendukung tamadun yang memilki jatidiri yang kukuh. Jika tidak diberi penekanan, generasi selepas ini akan dengan mudah ditelan oleh arus globalisasi.

- tamat-


DASAR KEBUDAYAAN KEBANGSAAN

Maksud Budaya:
(seperti di atas)

Bidang-Bidang Budaya :
1.Fikiran / idea
2.Kebendaan
3.Kesenian
4.Nilai dan Norma

Prinsip-Prinsip Asas
1.Berteraskan kepada kebudayaan rakyat asal rantau ini
2.Unsur-unsur kebudayaan lain yang sesuai dan wajar
3.Islam menjadi unsur pentingdalam pembentukan Kebudayaan Kebangsaan

Objektif
1.Mengukuhkan perpaduan bangsa dan negara melalui kebudayaan
2.Memupuk dan memelihara keperibadian kebangsaan yang tumbuh 3.daripada Kebudayaan Kebangsaan
4.Memeperkaya dan mempertingkatkan kualiti kehidupan kemanusiaan dan kerohanian yang seimbang dengan pembangunan sosio-ekonomi.

Strategi
1.Pemulihan dan pemuliharaan dan pembangunan kebudayaan ke arah menguatkan asas-asas kebudayaan kebangsaan melalui usahasama penyelidikan, pembangunan, pendidikan, pengembangan dan perhubungan budaya.
2.Meningkat dan mengukuhkan kepimpinan budaya melalui usaha-usaha membimbing dan melatih peminat, mendukung dan menggerak kebudayaan seluas-luasnya sebagai jentera pembangunan yang berkesan.
3.Mewujudkan komunikasi yang berkesan ke arah kesedaran kebangsaan, kenegaraan dan nasionalisma Malaysia.
4.Memenuhi keperluan sosio-budaya.
5.Meninggikan taraf dan mutu kesenian.

Mekanisma/Organisasi
1. Kementerian Kebudayaan dan agensinya
2. Kementerian lain
3. Kerajaan negeri
4. Swasta dan Pertubuhan Kebudayaan
5. Pertubuhan sukarela

Penutup
Dasar ini menjadi garis panduan membentuk serta mewujudkan satu bangsa yang bersatu-padu serta mengekalkan identiti negara di kalangan dunia antarabangsa.