Rabu, 5 Mei 2010

SULTAN TEGUR GOLONGAN TIDAK BERADAB

pengarang@utusan.com.my


SHAH ALAM 5 Mei - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah kesal dengan golongan yang mendakwa mereka profesional dan berjawatan besar tetapi tidak mempunyai adab yang sepatutnya.
Malah titah baginda, golongan yang tidak beradab itu juga mendakwa penampilan itu sesuai dengan imej masyarakat moden.
''Perbuatan itu bukan sahaja dilakukan di tepi-tepi jalan tetapi juga di tempat mulia dan tinggi," titah baginda ketika melancarkan Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (Padat) di sini malam ini.
Hadir sama pada majlis itu ialah Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali.
Sultan Selangor bertitah, adab bermakna menghormati ibu bapa, orang tua, jiran tetangga, ketua dan pemimpin selain menghormati budi bahasa dan pertuturan dengan tidak melakukan sesuatu yang boleh menyinggung perasaan dan maruah seseorang.
Baginda percaya amalan itu nenek moyang sejak dahulu itu perlu diterapkan dalam sistem pelajaran dan dipraktikkan oleh semua kaum supaya Selangor menjadi negeri yang mempunyai masyarakat bersopan santun dan budi bahasa yang tinggi.
Baginda juga mahu adat-adat Melayu diberi penerangan kepada kaum-kaum lain agar perpaduan antara masyarakat pelbagai kaum di negara ini dapat diperkukuhkan. ''Begitu juga orang-orang Melayu harus memahami dan menghormati adat resam kaum lain. Mereka juga hendaklah memahami dan menghormati adat resam Melayu.
''Dengan cara ini tidak timbul salah faham atau kekeliruan mengenai adat resam masing-masing," titah baginda. Sultan Selangor juga berharap Padat dapat menumpukan perhatian kepada penerokaan, pengkajian dan persembahan dan penonjolan adat Melayu dan warisan Selangor yang keasliannya dapat dipertahankan melalui penyelidikan.