Isnin, 12 Julai 2010

RM 200 JUTA BANTU PENGGIAT SENI

Penggiat filem, dokumentari dan seni tanah air diminta memanfaatkan Dana Industri Kreatif bagi menghasilkan karya seni yang berkualiti sehingga mampu mengeksport produk tersebut ke peringkat antarabangsa.
Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, dana RM200 juta itu dapat membantu para penggiat seni menghasilkan produk yang boleh memartabatkan nama negara. Katanya, dana itu adalah suntikan pinjaman modal kerajaan untuk membantu mereka menghasilkan produk filem atau dokumentari bertaraf dunia.
"Setakat ini RM20 juta telah disalurkan kepada beberapa penerbit dan mereka yang terbabit dalam industri seni bukannya terhad dalam bidang perfileman sahaja tetapi merangkumi pelbagai seni lain. ''Sehingga kini 15 pihak telah memohon dana berkenaan," kata Rais.
Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa meninjau lokasi pengambaran filem Hanyut arahan U-Wei Shaari di Padang Tengku, dekat sini hari ini. Menurut beliau, galakan yang diberikan oleh kerajaan melalui dana itu diharap dapat memberi suntikan kepada penggiat filem dan seni tempatan menerbitkan produk yang boleh mengharumkan nama Malaysia di luar negara.
Mengulas pengambaran filem Hanyut, Rais berkata, penerbit filem tersebut setakat ini telah diberikan pinjaman modal RM5 juta bagi memastikan penggambaran filem itu berjalan lancar. Rais berharap filem itu dapat diketengahkan ke festival filem Cannes atau festival antarabangsa yang lain.